Kejayaan

POLIS TAHAN LELAKI SAMUN, CEDERAKAN WARGA EMAS

Bukit Mertajam, 25 Dis 2016 - Tindakan pantas seorang anggota polis mengekori dua lelaki yang cuba menyamun seorang warga emas di Taman Jambu Mawar, di sini, membolehkannya menahan seorang daripada suspek, awal pagi semalam.
   
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata dalam kejadian kira-kira pukul 5 pagi semalam itu, seorang lelaki berusia 61 tahun sedang memandu kereta jenis Mercedez Benz sebelum menyedari diekori sebuah motosikal.
   
"Mangsa yang melihat dua lelaki menaiki motosikal jenis Kawasaki RR mengekorinya bertindak memandu laju dan suspek turut memecut motosikalnya sebelum pemboncengnya membaling batu besar untuk memecahkan cermin tingkap sebelah kanan kereta itu .
   
"Mangsa menghentikan keretanya dan seorang daripada lelaki itu kemudian memukul warga emas tersebut dengan topi keledar serta mengambil serangkai kunci sebelum melarikan diri dengan menunggang motosikal dengan laju," katanya di sini hari ini. 
   
Beliau berkata ketika kejadian itu seorang anggota polis yang sedang membuat rondaan cegah jenayah di kawasan berkenaan telah ternampak insiden terbabit dan bertindak mengejar dua lelaki tersebut.

Nik Ros Azhan berkata suspek yang menyedari mereka diekori bertindak memecut sebelum terbabas dan terjatuh di hadapan surau di taman berkenaan.
 
"Pembonceng motosikal tersebut dapat melarikan diri manakala penunggangnya
ditahan anggota polis berpangkat koperal itu. Polis turut merampas motosikal dinaiki suspek," katanya.  
   
Beliau berkata polis juga telah mengenal pasti rakan suspek dan usaha mengesan lelaki berkenaan giat dijalankan. 
   
Katanya polis tidak menolak kemungkinan dua lelaki itu terlibat dalam beberapa kes samun dan ragut sekitar daerah berkenaan sejak lima bulan lepas.
   
Lelaki berusia 20-an itu kini direman bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan, katanya. - BERNAMA
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS