Kejayaan

26 WARGA ASING DITAHAN DI TIMUR LAUT

 

George Town, 15 Januari 2017 - Seramai 26 warga asing ditahan dalam Op Rantau yang dijalankan polis bersama Jabatan Imigresen Pulau Pinang, di dua lokasi dalam daerah Timur Laut, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Mior Faridalathrash Wahid berkata dalam operasi bermula 2 petang itu, pihaknya membuat pemeriksaan di tapak pembinaan di Jelutong dan Kampung Pisang Awak, di sini.

"Dalam pemeriksaan di Jelutong, 62 warga asing yang bekerja di tapak pembinaan diperiksa sebelum kami menahan 20 lelaki di situ manakala di lokasi kedua, enam daripada 36 pekerja asing yang bekerja di tapak pembinaan berkenaan ditahan," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata semua warga asing itu ditahan kerana tiada dokumen perjalanan diri, kerja tanpa permit, tinggal lebih masa dan menyalahgunakan pas lawatan sosial.

Mior Faridalathrash berkata mereka yang ditahan terdiri daripada 18 lelaki Indonesia, tiga lelaki India, tiga lelaki Myanmar dan masing-masing seorang lelaki Bangladesh serta Nepal.

Katanya semua mereka yang berusia 24 hingga 50 tahun itu, dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut untuk didokumentasi sebelum dihantar ke Depoh Tahanan Juru bagi siasatan lanjut.

- BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS