Kejayaan

50 GRO DITAHAN DALAM OP NODA SEKITAR LEMBAH KLANG

 

Kuala Lumpur, 15 Januari 2017 - Seramai 50 wanita dipercayai pelayan pelanggan (GRO) warga asing ditahan dalam Op Noda di empat premis di sekitar Lembah Klang dekat sini, malam tadi.

Dalam operasi lima jam bermula 8.30 malam oleh Unit Tindakan Khas Jenayah Terancang, Skuad Taktikal 3 Perjudian/Maksiat/Kongsi Gelap (STAGG) Bukit Aman itu, seramai 10 lelaki dan dua wanita terdiri daripada penjaga, pekerja dan pelanggan premis tersebut turut ditahan.

Ketua Penolong Pengarah STAGG, SAC Khairi Ahrasa berkata kesemua yang ditahan itu berusia 16 hingga 41 tahun dan serbuan dilakukan berikutan aduan orang awam.

"Wanita warga asing yang ditahan adalah dari Vietnam, Thailand dan Indonesia kerana melakukan kesalahan antaranya menyalahgunakan pas lawatan sosial.

"Mereka dipercayai turut menyediakan perkhidmatan urutan 'badan ke badan'," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata premis yang diserbu itu membabitkan rumah kedai dan hotel murah dengan kadar bayaran perkhidmatan antara RM40 dan RM80.

Khairi berkata, dalam operasi itu polis turut merampas wang tunai lebih RM8,000, empat telefon bimbit dan 13 buku catatan perkhidmatan pelanggan serta peralatan hiburan.

Katanya kes itu disiasat mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 39B Akta Imigresen, Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Seksyen 373 (1) Kanun Keseksaan.

- BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS