Kejayaan

ENAM SUSPEK BUAT BOM DIBERKAS

 

Kota Bharu, 15 Januari 2017 - Polis Kelantan menangkap enam suspek bagi membantu siasatan berikutan penemuan peralatan membuat bom di Pasir Mas, awal pagi tadi.

Ketua Polis Kelantan, Dato' Dr Ab Rahman Ismail, berkata enam suspek berkenaan berusia antara 30 hingga 40 tahun ditangkap di rumah masing-masing, kira-kira jam 4 pagi tadi.

"Seramai 10 anggota dan pegawai menyerbu ke rumah suspek hasil maklumat orang awam. Hasil siasatan awal kami berjaya merampas beberapa peralatan membuat bom terdiri daripada wayar serta tempat letak bateri.

"Kita akan menyiasat dengan lebih mendalam kerana dipercayai ia ada kaitan dengan ancaman keselamatan negara," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) di sini, hari ini.

Ab Rahman turut tidak menolak kemungkinan suspek adalah pengganas Daesh dan akan menjalankan siasatan lebih lanjut mengenai kes berkenaan.

"Kes akan disiasat mengikut Seksyen 130 (C) Keganasan Kanun Keseksaan.

"Sehingga tahun lalu, seramai lapan suspek berkaitan Daesh ditahan oleh polis Kelantan di mana kesemua suspek berkenaan diberkas di Kuala Krai, Tanah Merah serta Kota Bharu," katanya.

Sumber: Berita Harian Online

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS