Kejayaan

LELAKI WARGA ASING DITAHAN CURI MOTOSIKAL


Tawau, 22 Januari 2017 - Seorang lelaki warga asing dipercayai terbabit dalam kegiatan mencuri motosikal di daerah ini ditahan polis, tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus, berkata suspek berumur 20 tahun itu ditahan oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) dan Strike Team (ST) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Tawau Lama, Batu 2.5 Tawau, kira-kira jam 12.05 malam.

"Hasil pemeriksaan di halaman rumah suspek, polis menjumpai sebuah motosikal jenis Yamaha LC berwarna biru dengan nombor pendaftaran ST 2221 P. Bagaimanapun, selepas semakan dibuat, nombor pendaftaran itu didapati palsu.

"Nombor pendaftaran sebenar ialah ST 3402 U iaitu merujuk kepada motosikal Yamaha LC warna hitam yang dilaporkan hilang pada 7 Mei 2015 di Batu 3 Jalan Apas, Tawau," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Siasatan lanjut mendapati suspek pernah ditahan kerana tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah dan kini ditahan mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) untuk siasatan lanjut berkaitan kes lain.

Dalam kes berasingan, tiga lelaki warga asing dipercayai terbabit dalam kes curi dan ragut dicekup polis dalam tiga serbuan berasingan di Kampung Titingan dekat sini, pada jam 5.25 pagi tadi.

Siasatan lanjut mendapati salah seorang suspek mempunyai rekod jenayah lampau, termasuk pernah ditangkap kerana positif ujian air kencing, memiliki senjata berjadual, kesalahan mendatangkan kecederaan, pecah rumah dan pecah kereta serta pernah dipenjarakan 11 kali atas pelbagai kesalahan.

Ketiga-tiga suspek yang berumur antara 19 hingga 28 tahun ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Sumber: Berita Harian Online

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS