Kejayaan

POLIS RAMPAS 3.2KG HEROIN

Muar, 23 Mac 2017 - Polis merampas dadah jenis heroin seberat 3.2 kilogram (kg) bernilai kira-kira RM50,000 dalam pemeriksaan terhadap sebuah kereta dan rumah di Sungai Abong di sini, petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Azman Ayob, berkata dua beranak masing-masing berusia 60 dan 37 tahun turut ditahan bersama wang tunai berjumlah RM7,000.

"Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar menahan sebuah kereta PROTON Wira dipandu dalam keadaan mencurigakan oleh suspek pertama di tepi jalan di Sungai Abong di sini. "Hasil pemeriksaan, polis menemui dadah jenis heroin seberat 108 gram.

Kira-kira jam 5 petang hari yang sama, polis ke rumah suspek dan menemui heroin seberat 3.175 kg," katanya pada sidang media di sini, hari ini. Azman berkata, berikutan penemuan dadah itu, polis menahan seorang lagi suspek yang juga anak lelaki suspek pertama.

"Ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek negatif dadah, namun semakan rekod mendapati mereka mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah.

"Mereka direman seminggu sehingga 28 Mac ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati," katanya.

Sumber : http://www.bharian.com.my/node/263278

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS