Kejayaan

SUSPEK DISYAKI PENGEDAR DADAH, BUANG BEG ELAK DITAHAN POLIS

Seremban, 26 Mac 2017- Seorang lelaki disyaki pengedar dadah bertindak membuang beg berisi dadah ketika cuba melarikan diri daripada ditahan dalam Ops Tapis, di Palong 7 (F), pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Jempol Supt Norzainy Mohd Noor berkata dalam kejadian 4.53 pagi itu, suspek berusia 29 tahun tersebut sedang duduk berhampiran motosikalnya yang enjinnya tidak dihidupkan, di kawasan lapang sebuah sekolah.

"Polis kemudian cuba hampiri suspek dan secara tiba-tiba suspek bertindak melarikan diri bila menyedari kehadiran pasukan polis. Dalam cubaan melarikan diri itu suspek dilihat mencampakkan sesuatu ke atas jalan berhampiran motosikalnya.

"Bagaimanapun suspek berjaya diberkas setelah berlaku pergelutan. Pemeriksaan di badan suspek tidak menjumpai sebarang barang salah," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Norzainy berkata polis kemudiannya membawa semula suspek ke lokasi mula-mula suspek berada.

"Pemeriksaan di tempat itu menemukan satu beg berzip warna merah jambu dan di dalamnya terdapat satu lagi beg yang diisi lima paket plastik lut sinar disyaki dadah jenis heroin seberat 9.14 gram; satu paket plastik lutsinar berisi ketulan jernih bahan disyaki dadah jenis syabu 1.58 gram.

"Turut dirampas satu alat timbang digital warna hitam," kata Norzainy.

Katanya hasil ujian saringan air kencing ke atas suspek didapati positif dadah jenis opiat.

Semakan rekod suspek yang merupakan penduduk tempatan di Felda berkenaan mendapati suspek mempunyai beberapa rekod jenayah lampau bersabit dadah, katanya.

Norzainy berkata pihak polis akan memperhebat gerakan membanteras aktiviti penyalahgunaan dadah di daerah ini dan tumpuan akan diberikan di kawasan Felda secara lebih agresif melalui operasi terancang seperti ini.- BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS