Kejayaan

POLIS TAHAN ENAM PENAGIH, RAMPAS HEROIN, GANJA

Kampung Gajah, 24 April 2017 - Polis menahan enam penagih dadah dan merampas 8.71 gram heroin dan syabu dalam satu operasi di ladang kelapa sawit Fasa 9, Felcra Changkat Lada di sini,  semalam.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah Supt Mohamad  Zainal Abdullah berkata salam serbuan kira-kira 11.30 pagi,  kesemua suspek yang berumur dalam lingkungan di antara 32 hingga 39 tahun itu sedang menagih dadah.

"Hasil pemeriksaan mendapati empat daripada mereka memiliki 8.60 gram heroin dan 0.11 gram syabu yang diisi  dalam beg plastik lut sinar yang ditemui di dalam beg, poket baju jaket dan kotak rokok  selain wang tunai RM198,”katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Ujian air kencing juga mendapati empat daripada mereka positif dadah jenis morphine dan  masing-masing ditahan  mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 serta Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.

“Dua lagi lelaki yang  positif ganja ditahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1983 dan mereka diserahkan kepada Agensi Anti Dadah Kebangsaan untuk tindakan lanjut,” katanya.

Dalam kes berasingan, Mohamad Zainal berkata polis  menahan seorang lelaki berumur 31 tahun  kira-kira 8 pagi di tepi jalan di kawasan Bota  dipercayai terlibat kegiatan pecah rumah di beberapa lokasi di Bota.           “Hasil siasatan awal mendapati  lelaki itu  mengaku melakukan  pecah rumah di kawasan Kampung Lambor Kanan dan terdapat tiga laporan polis berkenaan kes pecah rumah yang melibatkan suspek,"katanya.            Beliau berkata suspek dipercayai melakukan kegiatan itu secara bersendirian dan barangan yang dicurinya dijual di sebuah kedai di Ayer Tawar dengan menggunakan nama dan kad pengenalan bapanya.          “Jualan terbaharu  pada 22 April lepas di sebuah kedai emas dengan hasil jualan berjumlah  RM300.

Suspek menggunakan duit  jualan itu untuk perbelanjaaan harian termasuk  membeli baju manakala selebihnya  membeli syabu,” katanya sambil menambah kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaa kerana pecah rumah.

-- BERNAMA 

 

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS