Kejayaan

POLIS TAHAN DUA LELAKI, BURU LIMA LAGI SAMUN PUSAT SNUKER

Nibong Tebal, 25 April 2017 - Dua lelaki ditahan manakala lima lagi diburu polis kerana disyaki menyamun sebuah pusat snuker di Taman Bukit Panchor, di sini awal hari ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan Supt Shafee Abdul Samad berkata dalam kejadian kira-kira pukul 3.35 pagi itu, enam lelaki yang bersenjatakan parang, pedang samurai dan pisau menyerbu masuk premis pusat snuker itu dan mengarahkan pekerja menyerahkan wang manakala seorang lagi menunggu di luar premis itu.

“Pekerja pusat snuker itu menyerahkan wang tunai sebanyak RM6,000 dan suspek turut mengambil telefon bimbit mangsa sebelum melarikan diri,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata kumpulan itu terserempak dengan dua anggota polis yang membuat rondaan di kawasan itu ketika mereka cuba melarikan diri dan polis berjaya menahan dua lelaki berusia 19 dan 24 tahun manakala lima lagi lelaki berjaya melarikan diri dengan menaiki dua buah kereta iaitu Perodua Myvi dan Toyota Vios.

Berdasarkan siasatan awal, kumpulan itu dipercayai aktif menjalankan kegiatan samun pusat snuker dan kedai serbaneka 24 jam di sekitar daerah Seberang Perai Selatan sejak beberapa bulan lepas dan terlibat dalam sekurang-kurangnya lima kes.

Dua lelaki yang ditahan itu, kini direman lima hari bagi membantu siasatan, katanya.

-- BERNAMA

 

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS