Kejayaan

EMPAT LELAKI DITAHAN DISYAKI PUKUL PENYELIA KILANG PERABOT

Johor Bahru, 26 April 2017 - Polis menahan empat lelaki kerana disyaki memukul seorang penyelia kilang perabot di hadapan sebuah pusat hiburan di Bukit Indah, di sini dua hari lepas.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP Noor Hashim Mohamad berkata seorang daripada mereka ditahan pada pukul 11.50 malam di Mutiara Rini, di sini Isnin lepas, manakala tiga yang lain ditahan di Bukit Indah, kira-kira sejam kemudian.

"Kesemua yang ditahan berumur antara 19 dan 24 tahun. Polis turut merampas sebuah kereta jenis Toyota Vios hasil penahanan lelaki di Mutiara Rini itu," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Noor Hashim berkata keempat-empat mereka diburu selepas polis menerima laporan daripada penyelia kilang perabot itu pada pukul 6.50 petang Isnin lalu.

Penyelia lelaki berumur 32 tahun itu mendakwa dipukul dengan botol kaca oleh empat hingga lima lelaki pada kira-kira pukul 3 pagi Isnin.

"Ketika kejadian, pengawal keselamatan yang melihat pergaduhan itu cuba meleraikan keadaan dan mangsa (penyelia) kemudian bertindak melarikan diri sebelum datang ke balai polis untuk membuat laporan," katanya sambil menambah mangsa turut mengalami bengkak di kepala, luka di bibir dan calar di badan.

Menurut Noor Hashim, hasil ujian saringan air kencing mendapati dua daripada empat lelaki itu positif dadah jenis amphetamine.

Beliau berkata kesemua mereka mengaku berada di tempat kejadian semasa pergaduhan, namun, motif pergaduhan masih dalam siasatan.

Kesemua mereka kini direman tiga hari bermula semalam hingga esok mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh, katanya.

--BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS