Kejayaan

LELAKI DITAHAN, POLIS RAMPAS BARANG CURI BERNILAI LEBIH RM100,000

Bukit Mertajam, 26 April 2017 - Polis menahan seorang lelaki dipercayai anggota kumpulan samun, pecah kereta dan pecah rumah serta merampas pelbagai barang curi bernilai lebih RM100,000 dalam serbuan di sebuah hotel di Bukit Tengah, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata lelaki berusia 42 tahun yang bekerja sebagai peniaga dan berasal dari Kuala Lumpur itu ditahan dalam serbuan kira-kira pukul 2 petang.

"Bilik hotel itu disewa sejak empat hari lepas dan ketika serbuan dipercayai lima lagi anggota kumpulan itu belum balik ke hotel berkenaan. Polis percaya lima lagi rakan suspek berada di sekitar  negeri ini,” katanya.

Beliau berkata kumpulan itu dipercayai dari Kuala Lumpur dan kesemua barang dipercayai hasil curi kumpulan itu ditemukan dalam tiga bilik yang disewa mereka.

Nik Ros Azhan berkata antara barang yang ditemukan ialah pelbagai komputer riba, tablet, telefon bimbit, barang kemas, beg berjenama, peralatan elektrik dan pelbagai mata wang selain polis turut merampas sebuah kereta Toyota Camry menggunakan nombor pendaftaran palsu.

"Polis turut merampas pelbagai nombor pendaftaran kenderaan dipercayai palsu dan sebuah beg galas mengandungi peralatan pecah rumah antaranya parang, besi diasah tajam bagi tujuan mengumpil, kunci allen, kikir, pahat dan pemutar skru," katanya.

Beliau berkata polis turut menemukan dadah jenis syabu dan eramin 5 bersama lelaki yang positif dadah dan mempunyai rekod jenayah itu.

Nik Ros Azhan berkata berdasarkan siasatan, kumpulan yang berpindah-randah itu terlibat dalam lebih 20 kes samun, curi, pecah rumah dan pecah kereta di Kedah, Pulau Pinang,  Perak, Selangor serta Kuala Lumpur.

"Siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengesan lima lagi anggota kumpulan itu berusia antara 35 hingga 50 tahun," katanya.

-- BERNAMA   

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS