Kejayaan

22 PENAGIH TERMASUK TIGA PENGEDAR DADAH DITAHAN DI KAMPUNG GAJAH

Pasir Salak, 29 April 2017 - Polis menahan 22 penagih dadah termasuk seorang wanita  menerusi lima serbuan berasingan dalam Op Bersepadu Ibu Pejabat Polis Daerah Perak Tengah di beberapa kawasan sekitar Kampung Gajah dekat sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Supt Mohamad Zainal Abdullah berkata dalam operasi bermula 4 pagi hingga 5 petang itu, pihaknya turut merampas lebih daripada 23 gram pelbagai jenis dadah dan wang tunai berjumlah RM 2,760 dipercayai hasil jualan dadah daripada tiga lelaki dipercayai pengedar dadah.

"Seorang suspek berumur 36 tahun ditahan di sebuah rumah di Changkat Lada kira-kira pukul 12 tengah hari dan hasil pemeriksaan menemukan sebuah botol mengandungi 25 paket plastik lutsinar disyaki dadah heroin seberat 17.11 gram.

Turut ditemukan satu paket plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah jenis syabu seberat 0.79 gram dan sejumlah wang bernilai RM 1,010," katanya ketika dihubungi.

Mohamad Zainal berkata hasil ujian air kencing juga mendapati suspek berumur 36 tahun itu positif dadah jenis morfin serta tidak mempunyai sebarang rekod lampau  dan kini ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Mohamad Zainal berkata dalam serbuan berasingan di Changkat Lada, dua lelaki disyaki pengedar dadah turut ditahan bersama lapan paket plastik lutsinar berisi dadah jenis heroin seberat 5.20 gram.

Beliau berkata pemeriksaan menjumpai satu beg bertulis '5.11 tactical series' yang mengandungi dadah dan wang tunai bernilai RM1,750.

Katanya hasil ujian air kencing ke atas suspek yang masing-masing berumur 51 dan 27 itu mendapati kedua-duanya positif dadah jenis morfin, tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39 A (2) Akta Penagih Dadah 1952.

Katanya seorang wanita berumur 20 tahun  ditahan di tepi jalan di Changkat Lada bersama satu kotak rokok mengandungi satu paket plastik berisi heroin seberat 0.15 gram dalam operasi itu.

"Turut ditemui satu peket plastik berisi tumbuhan kering disyaki dadah ganja seberat 0.13 gram dan ujian saringan air kencing mendapati dia positif dadah jenis morfin," katanya sambil menambah wanita berkenaan bersama 18 individu lain kini ditahan bawah Seksyen 15 (1)(a) ADB, 12 (2) ADB dan 3 (1) ADB 1952.

-- BERNAMA



PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS