Kejayaan

POLIS TAHAN TUJUH SUSPEK KES TETAK PEMUDA DI BESUT

Besut, 27 Jun 2017 – Tujuh suspek dalam kejadian menyerang seorang pemuda di Kampung Pengkalan Nyireh di sini hingga maut Rabu lalu berjaya ditangkap, kata Ketua Polis Daerah Besut Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi.

Katanya, lima daripada suspek ditangkap pada malam hari kejadian manakala dua lagi ditahan semalam di rumah masing-masing di kampung Raja dan Kuala Besut.

Kesemua mereka dipercayai kenalan mangsa.

“Sehingga ini polis sedang memburu sekurang-kurangnya lapan lagi suspek dan mereka dijangka akan ditangkap tidak lama lagi kerana identiti dan alamat mereka telah dikenalpasti,” katanya kepada media ketika menghadiri Majis Rumah Terbuka Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Jabi , Mohd Iskandar Jaafar di sini hari ini.

Dalam kejadian yang berlaku pada 21 Jun lepas, mangsa Nik Mohamad Shahrulanuar Nek Der, 22, meninggal dunia di tempat kejadian selepas dipercayai diserang kira-kira 15 lelaki ekoran  perselisihan  faham.

Tambah Mohd Zamri, sehingga kini pihaknya masih belum menemui senjata tajam yang digunakan dalam kejadian itu kecuali pakaian suspek dan telefon bimbit.

 Mengenai kejadian tetak di Kampung Lak Lok, Jertih pada 24 Jun pula, Mohd Zamri berkata pihaknya  masih belum membuat sebarang tangkapan namun telah memperoleh beberapa maklumat terperinci mengenai identiti suspek.

Menurutnya, dalam kejadian pada kira-kira jam 12.19 tengah malam itu empat orang cedera dan dirawat di Hospital Daerah Besut yang berpunca daripada pergaduhan dua kumpulan yang menggunakan senjata tajam.

Mereka yang terbabit berumur antara 19 hingga 51 tahun dan merupakan penduduk tempatan.

Sementara itu bagi kes pemandu kereta sewa UBER yang ditetak oleh tiga lelaki pada 23 Jun di Stesen Petronas pada pukul 3.15 pagi, Mohd Zamri berkata tiga suspek bertanggungjawab menetak pemandu kereta sewa berkenaan.

Kejadian berlaku ketika dia sedang berehat setelah perjalanan jauh dari Kuala Lumpur untuk pulang ke Bachok, Kelantan.

“Kereta mangsa jenis Kia Forte yang turut dilarikan suspek dalam kes itu masih belum ditemui”, katanya yang turut menegaskan bahawa masih tiada sebarang tangkapan berhubung kes tersebut.

-- BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS