Kejayaan

POLIS TAHAN TIGA LELAKI LOLOS SEKATAN JALAN RAYA, DIPERCAYAI PENAGIH DADAH

George Town, 29 Jun 2017 - Polis menahan tiga lelaki termasuk seorang remaja yang cuba melarikan diri dalam sekatan jalan raya Op Selamat 11/2017 di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu di sini, awal hari ini.

Komander Operasi Sub-Tek Zon Utara Op  Selamat, Supt Shahrum Hashim berkata tiga lelaki berusia 17 hingga 28 tahun itu cuba bertindak memecut kereta dinaiki mereka ketika dihampiri oleh anggota dan pegawai trafik yang bertugas dalam Op  Selamat berkenaan.

"Hasil tindakan pantas polis telah berjaya menahan kereta dinaiki tiga lelaki itu pada pukul 1 pagi ketika mereka cuba melarikan diri.

"Hasil pemeriksaan terhadap kenderaan itu menemui tiga plastik lutsinar dipercayai dadah jenis syabu dan rokok daun yang dicampur dengan ganja," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata pemeriksaan lanjut terhadap kereta mereka mendapati terdapat tiga waran tangkap atas kesalahan tiada lesen memandu dan tidak mematuhi peraturan jalan raya.

Shahrum  berkata kereta berkenaan  didaftarkan atas nama ibu kepada  seorang daripada lelaki yang ditahan itu dan pihaknya turut memanggil wanita tersebut untuk siasatan lanjut.

Katanya tiga lelaki yang disyaki penagih dadah itu menyembunyikan syabu serta ganja di dalam bekas berisi gula-gula bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Sementara itu, Shahrum berkata  sepanjang Op  Selamat kali ini pihaknya menggunakan 'true kamera' dan dapat mengesan lebih banyak pengguna jalan raya yang memandu melebihi had laju.

"Selain itu, polis turut mengesan penunggang motosikal yang tidak mematuhi peraturan pengangkutan jalan raya dengan menyampaikan mesej Hari Raya di papan nombor pendaftaran motosikal sehingga nombor tidak dapat dilihat," katanya.

Katanya seramai 35 pegawai dan anggota polis Trafik Bukit Aman, IPD Barat Daya serta IPD Timur Laut terlibat dalam Op  Selamat berkenaan.

-- BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS