Kejayaan

POLIS TAHAN SEORANG PENGANGGUR DISYAKI PENGEDAR DADAH

Jempul, 25 Julai 2017 - Polis menahan seorang lelaki dipercayai pengedar dadah dalam ‘Op Tapis’ di Kampung Masjid Lonek, Batu Kikir dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Jempol Supt. Noorzainy Mohd Noor berkata suspek berusia 33 tahun itu ditahan ketika sedang duduk di atas motosikal, dipercayai menunggu penagih, di satu kawasan semak di kampung itu pada 1.40 tengah hari. 

“Suspek cuba melarikan diri namun gagal dan pemeriksaan ke atas lelaki itu menemukan 25 peket lut sinar dan tiga tiub straw, masing-masing mengandungi serbuk dan hablur disyaki dadah jenis heroin dan syabu, selain ‘foil’ (gulungan kerajang aluminium) dipercayai mengandungi pil erimin 5,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Beliau berkata lelaki itu juga positif dadah jenis morfin.

"Siasatan awal mendapati lelaki itu seorang penggangur dan mempunyai beberapa rekod lampau berkaitan dadah. Dia dikenal pasti sebagai pengedar dadah yang bergerak aktif di kawasan tersebut sejak beberapa bulan lepas,” katanya.

Noorzainy berkata kes disiasat menurut Seksyen 39B , Seksyen 39A (1) dan Seksyen 12(12) Akta Dadah Berbahaya 1952.

-- BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS