Kejayaan

POLIS TAHAN SEORANG LELAKI BERHUBUNG KES CUBAAN SAMUN

Klang, 2 Ogos 2017 - Seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam kes cubaan samun berkumpulan di Bukit Bayu Tinggi di sini, ditahan dalam satu serbuan awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Shamsul Amar Ramli berkata suspek yang berusia lingkungan 30-an itu ditahan dalam satu serbuan di sebuah rumah di Taman Sentosa kira-kira pukul 2 pagi.

“Suspek bersama empat lagi rakannya (lelaki) yang menaiki kenderaan jenis MPV dipercayai cuba melakukan samun ke atas seorang lelaki pada Ahad lepas di perkarangan rumah mangsa di Bukit Bayu Tinggi, kira-kira pukul 10.28 malam.

“Mereka ini dilaporkan bersenjatakan parang dan memakai topeng, bagaimanapun dalam kejadian itu mangsa berjaya melarikan diri tanpa mengalami apa-apa kecederaan dan kerugian (akibat kejadian tersebut),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Shamsul Amar berkata  siasatan awal menunjukkan suspek yang ditahan itu mempunyai 27 rekod jenayah lampau atas pelbagai kesalahan termasuk positif dadah jenis Methamphetamine.

Katanya, suspek kini direman enam hari sehingga Isnin depan dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 393 Kanun Keseksaan kerana cuba melakukan samun.

-- BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS