Kejayaan

OP LANDAI: PPM TAHAN 33 PATI DI KOTA TINGGI

Kota Tinggi, 14 Ogos 2017 - Pasukan Polis Marin (PPM) Pengerang menahan 33 pendatang asing tanpa izin (PATI) rakyat Indonesia di tiga lokasi berasingan dalam Op Landai di Bandar Penawar, dekat sini, tengah malam tadi.

Menurut Komander PPM Wilayah Dua, ACP Paul Khiu Khon Chiang, semua 33 PATI itu ditahan semasa mahu pulang ke negara mereka melalui jalan yang tidak diwartakan.

"Seramai 10 lelaki berusia di antara 20 sehingga 34 tahun berjaya ditahan dalam serbuan pertama yang dijalankan di Ladang Tembikai, Tanjung Balau dekat Bandar Penawar pada pukul 11.00 malam," katanya.

Beliau berkata, 23 PATI lagi terdiri daripada 17 lelaki dan dua wanita dewasa serta empat kanak-kanak yang berusia di antara 1 sehingga 45 tahun pula ditahan sejam kemudian dalam operasi pencarian saki-baki mereka yang cuba meloloskan diri dalam ladang berkenaan.

" Hasil siasatan awal mendapati, selain mahu keluar dari negara ini melalui jalan yang tidak diwartakan, mereka juga tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah dan telah tinggal di Malaysia melebihi tempoh yang ditetapkan, ujar beliau lagi.

ACP Paul turut berkata, kesemua 33 PATI yang ditahan itu dibawa pulang ke Balai Polis Bandar Penawar untuk tindakan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/1963.

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS