Kejayaan

POLIS MARIN TAHAN 19 PATI CUBA MENYUSUP KELUAR

Semporna, 8 September 2017 - Seramai 19 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warga Filipina yang cuba menyusup keluar dari negara ini ditahan di perairan Pulau Mabul dekat sini, awal pagi semalam.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Empat, ACP Mohd Yazib Abd Aziz berkata, semua PATI berusia antara satu dan 51 tahun itu ditahan oleh sekumpulan anggota yang membuat rondaan di kawasan laut berkenaan pada jam 3.30 pagi.

"Anggota kita yang menaiki bot ronda PPM telah menahan sebuah perahu yang dinaiki kesemua PATI berkenaan dan hasil pemeriksaan ke atas mereka mendapati tiada sebarang dokumen pengenalan diri yang sah", ujar beliau.

Tambah ACP Mohd Yazib lagi, pihaknya turut menemukan 66 gelen minyak kosong bernilai RM660 di dalam perahu yang dinaiki PATI berkenaan untuk diseludup pulang ke negara asal.

Kesemua tangkapan dan rampasan termasuk bot berserta dua buah enjin dibawa pulang ke Pangkalan PPM Semporna untuk tujuan dokumentasi sebelum disiasat lanjut di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS