Kejayaan

POLIS MARIN RAMPAS 650 KARTON ROKOK BERNILAI RM61,100

Johor Bahru, 26 Sept 2017 - Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 2 merampas 650 karton rokok bernilai RM61,100 dipercayai cuba diseludup menerusi Ops Gelora Khas/Landai di kawasan Felda Cahaya Baru Masai, di sini, semalam.

Komander PPM Wilayah 2 ACP Paul Khiu Khon Chiang berkata rampasan dilakukan selepas pihaknya mengesan sebuah kenderaan bernombor pendaftaran Singapura dalam keadaan mencurigakan.

"Bertindak atas maklumat, pegawai dan anggota PPM Wilayah 2 mengadakan rondaan di kawasan Felda Cahaya Baru Masai berhampiran Loji Sultan Iskandar pada 9 malam lalu mengesan sebuah kereta Honda Stream dalam keadaan mencurigakan di kawasan itu," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Khiu berkata pegawai dan anggota PPM Wilayah 2 kemudian mengikut kenderaan terbabit dan berjaya memintasnya di kawasan hutan berhampiran Loji Sultan Iskandar.

Beliau berkata bagaimanapun, dua lelaki dewasa di dalam kereta itu yang dianggar berumur 30-an melarikan diri ke dalam hutan tersebut dengan meninggalkan kenderaan yang enjinnya masih hidup.

Menurutnya, usaha mengesan kedua-dua suspek di dalam kawasan hutan itu kemudian dijalankan selama kira-kira sejam, namun, mereka gagal ditemui.

"Hasil pemeriksaan terhadap kenderaan berkenaan kemudian menemui 650 karton rokok tidak sah jenama JM9 White yang ditutupi kain hitam di tempat duduk belakang kenderaan tersebut," katanya.

Katanya rokok dan kenderaan bernilai RM80,000 itu kemudian dibawa ke Markas PPM Wilayah 2 untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 135(e) Akta Kastam 1967.

-- BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS