Kejayaan

POLIS MARIN RAMPAS BALAK HARAM BERNILAI RM535,000 DI KAPIT

Kuching, 30 Sept 2017 - Tindakan pembalak haram menjalankan kegiatan hingga ke kawasan pedalaman dapat dipatahkan pasukan penguatkuasaan dalam operasi terbaharunya di Nanga Maramah, Batang Baleh di Kapit, semalam.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Lima ACP Salehuddin Mat Zaman berkata dalam operasi tengah hari itu, pihaknya dan beberapa agensi penguatkuasaan lain dapat merampas 469 kayu balak pelbagai jenis dan saiz yang  bernilai RM535,500.

Beliau berkata sebelum mencatatkan kejayaan itu, pihaknya terpaksa menempuh perjalanan kira-kira lapan jam dari Pekan Kapit selain perjalanan mereka terganggu dengan 'sekatan' haram yang dibina bagi melambatkan perjalanan.

"Hasil pemeriksaan di kawasan berkenaan, pasukan operasi menjumpai 469 batang balak pelbagai saiz dan jenis seperti meranti, kapur dan jelutong yang disyaki telah ditebang secara haram.

"Semua balak tersebut didapati tidak mempunyai cop Jabatan Hutan Sarawak,"  

Semua balak yang dirampas itu diserahkan kepada Jabatan Hutan Sarawak untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu, Salehuddin berkata kejayaan itu merupakan kes rampasan balak haram ke-29 oleh PPM Wilayah Lima.

"Bagi tempoh Januari hingga September ini, nilai rampasan yang dicatatkan adalah kira-kira RM6.8 juta," katanya.        –  BERNAMA



PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS