Kejayaan

POLIS TAHAN SEMBILAN LELAKI WARGA INDIA KERANA TINGGAL LEBIH MASA

POLIS TAHAN SEMBILAN LELAKI WARGA INDIA KERANA TINGGAL LEBIH MASA

KUALA LUMPUR, 26 Okt (Bernama) -- Gara-gara memuat naik satu rakaman video palsu, sembilan  pekerja  sebuah restoran di Sungai Chua, Kajang, Selangor ditahan petang tadi kerana disyaki terlibat dalam pergaduhan dan tinggal lebih masa di Malaysia.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata semua lelaki terbabit berusia antara 20 dan 40 tahun ditahan sepasukan anggota polis yang membuat pemeriksaan ke restoran itu sebaik menerima laporan mengenai dakwaan seorang lelaki didera oleh majikannya.

“Polis menerima satu laporan daripada pengadu yang menerima rakaman video melalui aplikasi WhatsApp yang memaparkan seorang lelaki menyatakan bahawa dia baharu sahaja melarikan diri dari orang upahan majikannya yang mahu memukulnya.

“Dalam video tersebut mangsa berkata sudah empat tahun didera oleh majikannya dan susulan laporan pengadu tersebut pihak polis telah melakukan pemeriksaan ke restoran terbabit dan menahan mangsa serta lapan yang lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, siasatan awal mendapati, mangsa memberitahu polis bahawa dia telah ditumbuk dan ditendang oleh tiga rakan sekerjanya dan mengalami luka dibibir dan jari kaki serta sakit di bahagian punggung.

Ahmad Dzaffir berkata, berdasarkan semakan rakaman kamera litar tertutup di restoran itu, mangsa dipercayai dipukul kerana cuba meminta gaji daripada salah seorang suspek yang bekerja sebagai juruwang. 

“Semakan rakaman CCTV (kamera litar tertutup) menunjukkan mangsa dalam keadaan mabuk dan telah meminta gaji kepada salah seorang suspek yang bekerja sebagai juruwang tetapi tidak diberikan atas alasan mangsa telah beberapa hari tidak bekerja. Lalu mangsa terus menyerang juruwang tersebut.,” katanya

Ahmad Dzaffir berkata, hasil pemeriksaan lanjut turut mendapati semua pekerja yang ditahan itu telah tinggal lebih masa di negara ini dan memiliki dokumen tamat tempoh.

Katanya, mangsa dan kesemua suspek ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 160 Kanun Keseksaan, Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39 (b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

-- BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS