Kejayaan

POLIS TAHAN EMPAT LELAKI, RAMPAS DADAH BERNILAI RM5,600

POLIS TAHAN EMPAT LELAKI, RAMPAS DADAH BERNILAI RM5,600

JOHOR BAHRU, 30 Okt (Bernama) -- Polis menahan empat lelaki dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM5,600 dalam serbuan di sebuah rumah di Felda Tunggal, Gugusan Adela, dekat Kota Tinggi, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Ahsmon Bajah berkata serbuan dilakukan pada 11.30 malam selepas bertindak atas maklumat orang awam.

"Kesemua dadah yang dirampas melibatkan 283.15 gram heroin, syabu (13.5 gram), Erimin 5 (1.4 gram) dan ganja (0.76 gram)," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Ahsmon berkata kesemua lelaki tempatan berumur 35 hingga 40 tahun itu kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Beliau berkata pihaknya menahan 742 individu pelbagai peringkat umur dan merampas 12.57 kilogram dadah pelbagai jenis menerusi operasi pembanterasan dadah sejak Januari hingga 17 Sept lepas.

Katanya kesemua dadah itu bernilai RM217,940 termasuk ekstasi, Erimin 5 dan Yaba.

Menurut Ahsmon, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi amat menghargai sumbangan maklumat daripada masyarakat dalam memerangi dadah dan sehubungan itu, IPD Kota Tinggi juga bertekad untuk terus memerangi dadah di daerah itu.

-- BERNAMA
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS