Kejayaan

POLIS TAHAN PEMANDU LORI CUBA LANGGAR PENGUATKUASA JPJ

POLIS TAHAN PEMANDU LORI CUBA LANGGAR PENGUATKUASA JPJ

BUTTERWORTH, 23 Nov (Bernama) -- Seorang pemandu lori ditahan polis kerana menghalang penjawat awam, iaitu penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menjalankan tugas  di Jalan Chain Feri, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata dalam kejadian pukul 12.30 tengah hari itu, empat penguatkuasa JPJ yang menaiki sebuah kenderaan jabatan berkenaan sedang membuat rondaan apabila ternampak lori dipandu lelaki terbabit di lampu isyarat simpang menghala ke Taman Bagan.

"Penguatkuasa JPJ itu membunyikan siren kenderaan dan mengarahkan pemandu lori yang membawa muatan tanah lumpur itu memberhentikan kenderaannya di tepi jalan untuk pemeriksaan.

Tetapi pemandu itu tidak memberhentikan lori dan terus melanggar lampu isyarat serta membelok ke Taman Bagan menuju ke dalam kawasan tapak pembinaan perumahan sambil diekori kenderaan JPJ yang terus mengarahkan suspek berhenti," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata pemandu itu yang menyedari diekori bertindak membrek lori yang dipandunya secara mengejut dan cuba melanggar kenderaan JPJ beberapa kali bagaimanapun penguatkuasa JPJ sempat mengelak.

Noorzainy berkata selain itu, pemandu terbabit turut  membuang muatan tanah lumpur hampir mengenai kenderaan JPJ sebelum penguatkuasa berkenaan bertindak menyekat laluan keluar dari tapak pembinaan sehingga pemandu tersebut memberhentikan lori yang dipandunya itu.

"Lelaki itu enggan turun dari lorinya walaupun telah diarah beberapa kali oleh penguatkuasa JPJ  menyebabkan mereka menghubungi polis bagi meminta bantuan. Kami membuat pemeriksaan ke atas pemandu berkenaan dan mendapati lesen memandunya dan cukai jalan serta perlindungan insurans telah tamat tempoh," katanya.

Beliau berkata penguatkuasa JPJ itu mengeluarkan sembilan saman ke atas lelaki berkenaan atas pelbagai kesalahan namun lelaki itu enggan menerimanya sebaliknya membuat provokasi dengan menolak badan anggota JPJ dan memaki hamun serta menunjukkan isyarat lucah.

"Berikutan itu, polis menahan lelaki terbabit kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan mengeluarkan kata-kata kesat. Dia kini direman empat hari bagi membantu siasatan," katanya.

-- BERNAMA
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS