Kejayaan

POLIS TAHAN 11 LELAKI TERLIBAT 16 KES CURI KABEL SEKITAR REMBAU

POLIS TAHAN 11 LELAKI TERLIBAT 16 KES CURI KABEL SEKITAR REMBAU

REMBAU, 24 Nov (Bernama) -- Polis Rembau memberkas dua kumpulan yang aktif mencuri kabel di daerah ini sejak Januari lepas, melibatkan kerugian RM84,000, dalam tempoh 24 jam selepas orang ramai  membuat laporan polis mengenai kemalangan motosikal terlanggar kabel curi di tepi jalan. 

Ketua Polis Daerah Rembau DSP Ibrahim Sharif berkata dengan tertangkapnya kesemua 11 suspek yang berusia 18 hingga 33 tahun itu di dua lokasi berasingan, polis percaya dapat menyelesaikan sekurang-kurangnya  siasatan 16 kes curi kabel.

“Bertindak atas laporan orang awam berkenaan satu kemalangan membabitkan sebuah motosikal yang terlanggar kabel curi di Jalan Gadong-Kota, petang semalam, kira-kira pukul 11.50 malam semalam, polis telah menangkap lima lelaki termasuk seorang anggota tentera yang sedang leka membakar kabel curi di tepi sebuah bengkel di Kampung Perah, Kota dekat sini.

“Dalam masa yang sama, pasukan petugas kita berjaya menjejaki sebuah lagi kumpulan pencuri kabel yang terdiri daripada enam lelaki dari Kuala Lumpur yang bersembunyi di dalam sebuah kebun kelapa sawit dan hutan tidak jauh dari lokasi kemalangan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Kumpulan kedua pencuri kabel itu diberkas kira-kira pukul 4.30 pagi hari ini.

Ibrahim berkata hasil tangkapan itu pihaknya menemui 140 meter kabel milik Telekom Malaysia bernilai kira-kira RM4,000 yang dicuri di kawasan berkenaan.

Beliau berkata turut dirampas ketika serbuan sebilah pedang pendek, pemotong kabel, pembuka lurang, tali, dua batang besi dan dua kenderaan.

Ibrahim berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 379 dan Seksyen 379 (A) Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS