Kejayaan

POLIS TAHAN LELAKI, RAMPAS HEROIN BERNILAI RM18,230

POLIS TAHAN LELAKI, RAMPAS HEROIN BERNILAI RM18,230

BUTTERWORTH, 13 Dis (Bernama) -- Polis menahan seorang pengedar dadah dan merampas heroin seberat 1,030 gram bernilai RM18,230 dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Sungai Dua, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara  ACP Noorzainy Mohd Nor berkata bertindak hasil risikan dan intipan sejak seminggu lepas, sepasukan polis diketuai Insp K.Tanapalan menyerbu rumah lelaki itu kira-kira pukul 4 petang dan menahan suspek berusia 41 tahun.

"Hasil pemeriksaan di dalam rumah lelaki yang bekerja sebagai buruh itu, polis menemui dua bungkusan plastik berisi heroin seberat 1,030 gram dipercayai milik suspek. Harga pasaran heroin itu ialah RM18,230 dan berdasarkan siasatan, lelaki itu didapati terlibat dalam kegiatan mengedar dadah sejak awal tahun ini," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata siasatan juga mendapati lelaki itu mendapatkan bekalan dadah daripada sindiket pengedaran sebelum menjualnya kepada pelanggan sekitar Butterworth, dan suspek, yang juga positif dadah,  mampu memperoleh ribuan ringgit setiap bulan hasil penjualan  dadah.

Katanya siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengesan anggota sindiket pengedaran dadah yang terlibat dengan lelaki itu dan mereka dipercayai  berada di sekitar negeri ini.

"Lelaki yang turut mempunyai rekod lampau berkaitan dadah itu kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan dan kes berkenaan disiasat menurut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," kata Noorzainy.

-- BERNAMA
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS