Kejayaan

POLIS TAHAN TIGA LELAKI BANTU KES BUNUH

POLIS TAHAN TIGA LELAKI BANTU KES BUNUH

BUKIT MERTAJAM, 14 Dis (Bernama) -- Polis menahan tiga lelaki bagi membantu siasatan berhubung kejadian seorang buruh binaan cedera parah dalam pergaduhan di sebuah pusat hiburan Ahad lepas sebelum meninggal dunia pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata tiga lelaki berusia 19 hingga 25 tahun itu ditahan kira-kira pukul 3 petang hari ini selepas mereka menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah SPT, di sini.

"Berdasarkan siasatan awal, mangsa Wong Kok Aun, 41, bersama beberapa rakannya dipercayai bergaduh dalam sebuah pusat hiburan di Autocity Juru dengan sekumpulan lelaki dalam kejadian jam 1.50 pagi itu.

"Berikutan kejadian itu, mangsa yang cedera parah telah dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk rawatan lanjut sebelum dilaporkan meninggal dunia pada Selasa malam," katanya di sini malam ini.

Katanya, susulan kejadian itu, tiga lelaki berkenaan menyerah diri kerana mendakwa berada di pusat hiburan tersebut semasa kejadian pergaduhan berkenaan.

Nik Ros Azhan berkata namun mereka menafikan memukul mangsa semasa pergaduhan itu dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Katanya, polis juga sedang mengesan beberapa lagi lelaki dipercayai terlibat dalam pergaduhan itu bagi membantu siasatan kes berkenaan.

"Dua daripada tiga lelaki itu mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah dan semua mereka akan direman bagi membantu siasatan kes berkenaan," katanya.

Beliau berkata kes itu sebelum ini disiasat menurut Seksyen 326 Kanun Keseksaan ditukar kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas mangsa meninggal dunia.

Beliau juga meminta kerjasama orang ramai dan saksi yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu agar tampil di mana-mana balai polis bagi membantu siasatan.

-- BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS