Kejayaan

POLIS TAHAN SUSPEK, MILIKI EMPAT REKOD JENAYAH

POLIS TAHAN SUSPEK, MILIKI EMPAT REKOD JENAYAH

BESUT, 20 Dis  (Bernama)  –  Seorang mekanik yang mempunyai empat rekod jenayah akhirnya berjaya ditangkap pihak polis di Kampung Gong Medang, di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata suspek yang berusia 40 tahun itu pada awalnya cuba bergelut dengan anggota polis.

Katanya, ketika ditemui, suspek sedang tidur di dalam kereta di hadapan bengkel kereta bagaimanapun  apabila terjaga dia telah bertindak memandu secara melulu hingga melanggar kereta peronda yang diletakkan di belakang keretanya.

“Dalam kejadian 6.15 pagi itu... sebelum  bertindak anggota polis telah menghalang kereta suspek  dengan meletakkan kereta peronda  polis di belakang kereta suspek  sebelum mengejutnya dari tidur.

“Bagaimanapun, apabila sedar dari tidur, suspektelah bertindak menghidup enjin keretanya untuk melarikan diri dengan memandu ke arah hadapan hingga melanggar tiang bengkel dan juga kereta polis  ketika cuba mengundur,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Tambahnya, keadaan tersebut memaksa anggota polis bertindak memecahkan tingkap kereta suspek  sebelum berjaya menangkapnya dan menerusi pemeriksaan, polis menemui sebilah  parang, sebilah pisau dan sebilah sabit yang dipercayai digunakan  dalam kegiatan jenayah.

Suspek juga didapati positif dadah dan kini ditahan sementara menunggu proses tahanan reman  bagi polis melakukan siasatan terhadap kes di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kes kecurian.

-- BERNAMA
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS