Kejayaan

POLIS TAHAN LELAKI GENG PECAH KILANG, BURU TIGA RAKANNYA

POLIS TAHAN LELAKI GENG PECAH KILANG, BURU TIGA RAKANNYA

Bukit Mertajam, 29 Dis 2017 - Polis menangkap seorang  lelaki yang sedang mencuri  batang besi paip di sebuah kilang di Jalan Perusahaan 1, Perai dekat sini semalam dan kini memburu tiga lagi rakan subahatnya.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah  ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata lelaki tersebut dipercayai anggota geng pecah kilang yang terlibat dalam sekurang-kurangnya 10 kes di daerah ini sejak beberapa bulan lepas.

“Pada 5.20 petang semalam polis menerima maklumat mengenai beberapa individu menceroboh serta mencuri di dalam kilang itu dan sepasukan polis yang sedang melakukan rondaan cegah jenayah bergegas ke premis tersebut.

“Mereka berjaya menangkap suspek yang baru sahaja selesai memotong sebatang besi paip di dinding luar belakang kilang dan pemeriksaan lanjut mendapati  tiga lagi lelaki dipercayai rakan suspek telah melarikan diri melalui pagar yang mereka pecahkan," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata polis merampas gergaji besi, beg galas, gunting, kikir besi, gelung besi tembaga, pemotong besi, playar dan pemutar skru daripada suspek berusia 35 tahun tersebut.

"Lelaki yang ditahan itu mempunyai dua rekod lampau dan polis juga telah kenal pasti identiti tiga lagi rakannya serta usaha mengesan mereka giat dijalankan. Suspek yang ditahan itu kini direman selama lima hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan,” katanya.

Mengulas perkembangan lain, Nik Ros Azhan berkata mayat lelaki warga emas yang ditemukan dalam keadaan tidak berpakaian serta berulat di dalam sebuah rumah di Jalan Haji Sulaiman, Berapit di sini pada 6.25 petang semalam mungkin mangsa bunuh.

Beliau berkata  siasatan awal mendapati mangsa membuat laporan polis pada 21 Dis lepas mendakwa disamun oleh seorang lelaki yang dikenalinya.

“Ekoran penemuan mayat itu, polis menahan seorang lelaki berusia 30-an bagi membantu siasatan kes berkenaan,” katanya.

-- BERNAMA
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS