Kejayaan

POLIS MARIN RAMPAS 30 KAYU BAKAU TANPA PERMIT

Batu Pahat, 1 Januari 2018 - Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua berjaya merampas 30 batang kayu bakau yang ditebang tanpa kebenaran menerusi Op Gelora di pantai bakau Sungai Tiram Duku, dekat sini, petang tadi.

Komander PPM Wilayah Dua, ACP Paul Khiu Khon Chiang berkata, bertindak atas maklumat risikan, pihaknya yang sedang membuat rondaan pada jam 2.00 petang telah terserempak dengan sebuah bot bakau dikemudi oleh dua individu dipercayai warga Indonesia di kawasan pantai berkenaan.

“Sejurus pihak polis cuba menghampiri bot berkenaan, kedua-dua individu terbabit telah melarikan diri di kawasan hutan bakau berhampiran dan gagal dikesan,” ujar beliau.

Siasatan di dalam bot berkenaan mendapati ianya dipenuhi dengan muatan kayu bakau yang telah ditebang dari hutan bakau berhampiran.

Kesemua kayu bakau termasuk bot panjang berserta enjinnya disita dan dibawa ke Jeti Perikanan Tampoi untuk tindakan lanjut di bawah Akta Perhutanan Negara 1984.

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS