Kejayaan

PPM RAMPAS KAYU BALAK BERNILAI LEBIH RM18 RIBU

Miri, 20 Januari 2018 - Pasukan Polis Marin (PPM) Miri terus membanteras kegiatan pembalakan haram apabila sebuah kawasan pengumpulan kayu balak yang tersembunyi di Sungai Maloi, Temala Baram berjaya diserbu, pagi semalam.

Komander PPM Wilayah Lima, ACP Salehuddin Mat Zaman berkata, bertindak atas maklumat awam dan risikan Unit Risikan Marin, serbuan yang dibuat pada jam 10.00 pagi itu telah menemui 133 batang kayu balak pelbagai jenis dan saiz termasuk yang dilindungi oleh Jabatan Perhutanan Sarawak bernilai RM18,950.

“Hasil pemeriksaan polis mendapati kesemua kayu balak itu tidak mempunyai tanda hakmilik dan cukai dari pihak berkuasa negeri.

“Semakan di sekitar kawasan juga tidak menjumpai jentera atau suspek yang melakukan kerja-kerja pembalakan haram itu,” ujar beliau.

Kesemua kayu balak berkenaan dirampas untuk diserahkan kepada Jabatan Hutan Sarawak bagi membolehkan siasatan dibuat di bawah Seksyen 80 Ordinan Perhutanan Sarawak 2015.

ACP Salehuddin turut menambah, pasukannya bersama lain-lain penguatkuasa tempatan seperti Sarawak Forestry Corporation akan terus berusaha untuk membanteras kegiatan pembalakan haram di negeri terbabit.

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS