Kejayaan

POLIS TAHAN DUA TOKAN DADAH

Bagan Serai, 1 Febuari 2018 – Polis melumpuhkan kegiatan pengedaran dadah apabila menahan dua lelaki dan merampas 427.81 gram heroin bernilai RM20,000 dalam sebuah kereta di persimpangan Jalan Lorong Mawar, Taman Bagan Serai, tengah malam semalam.

Ketua Polis Daerah Kerian Supt Omar Bakhtiar Yaacob berkata kedua-dua suspek yang merupakan tokan dadah ditahan sepasukan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian dalam dua serbuan berasingan pada 12.10 tengah malam itu.

Katanya tangkapan pertama melibatkan lelaki berumur 20-an setelah suspek berada dalam keadaan mencurigakan ketika sedang berdiri di luar sebuah kereta jenis Honda Accord.

Beliau berkata pemeriksaan di badan suspek menjumpai satu kotak rokok yang dipegang pada tangan kanan mengandungi dua paket lut sinar dadah jenis heroin.

“Polis turut memeriksa dalam kereta suspek dan menemui satu beg plastik lut sinar berwarna biru di atas tempat duduk penumpang hadapan mengandungi dua paket lut sinar heroin seberat 427.81 gram dan 90 tiub straw berisi heroin serta beberapa peralatan digunakan untuk membungkus dadah,” katanya pada sidang media di IPD Kerian di sini malam ini.

Omar Bakhtiar berkata siasatan mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau di bawah kesalahan Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya susulan tangkapan pertama itu, polis menahan seorang lagi lelaki berumur 30 tahun kerana disyaki terbabit dalam pengedaran dadah di sebuah rumah di sini.

Menurut beliau, kedua-dua suspek ditahan reman selama empat hari sehingga Ahad dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Omar Bakhtiar berkata dengan tertangkapnya kedua-dua suspek itu, polis berjaya melumpuhkan kegiatan pengedaran dadah jenis heroin sekitar Bagan Serai.

Dalam pada itu, beliau berkata bagi tempoh 1 hingga 31 Jan lalu, pihaknya menahan 59 orang membabitkan 48 kes di bawah Akta Dadah Berbahaya.

“Sebanyak 513.16 gram dadah jenis heroin, 22.69 gram (syabu), 5.22 gram ganja dan 0.69 gram pil Estacy dirampas dalam tempoh berkenaan,” kata beliau bahawa pihaknya sentiasa mempertingkatkan operasi untuk membanteras kegiatan pengedaran dadah di daerah berkenaan.

- BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS