Kejayaan

POLIS MARIN GAGALKAN CUBAAN SELUDUP MINYAK, BARANG KAWALAN

Sandakan, 3 Februari 2018 - Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Empat menggagalkan cubaan menyeludup enam jerikin berisi minyak petrol Ron95 dan pelbagai barang kawalan ke negara jiran menerusi tiga serbuan berasingan yang dijalankan di Kuala Sungai Batu 3, dekat sini dan Sungai Aji Kuning, dekat Tawau, awal pagi semalam.

Turut ditahan dalam ketiga-tiga serbuan yang dilakukan seawal jam 5.30 pagi itu ialah tiga lelaki berusia di antara 24 sehingga 38 tahun yang tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan seorang rakyat tempatan.

Menurut Komander PPM Wilayah Empat, ACP Mohd Yazib Abd Aziz, pihaknya yang sedang melaksanakan Op Gelora di kedua-dua kawasan perairan berkenaan telah terserempak dengan jongkong yang sarat dengan pelbagai muatan minyak dan barang kawalan dalam keadaan mencurigakan sebelum bertindak membuat pemeriksaan.

“Hasil pemeriksaan lanjut menemui enam jerikin minyak petrol Ron95, 20 kotak tepung makanan, 13 kotak minyak masak, 11 buah tong gas masak dan lima kotak gula pasir yang tidak mempunyai sijil bekalan dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK),” ujar beliau.

Turut ditemui pada diri dua daripada empat suspek yang ditahan adalah 4.1 gram dadah jenis Syabu yang disyaki untuk kegunaan sendiri.

Kesemua tahanan dan barangan termasuk jongkong yang digunakan untuk menyeludup barang seludup dianggarkan bernilai RM54,547 dibawa ke pangkalan PPM Wilayah Empat untuk siasatan lanjut di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Dadah Berbahaya 1952.

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS