Kejayaan

POLIS TAHAN PATI TERBABIT KES PECAH RUMAH

Kulai, 5 Februari 2018 - Empat lelaki pendatang tanpa izin (Pati) warga Indonesia berjaya ditahan selepas dipercayai terbabit dalam kes pecah rumah di sebuah rumah di Felda Bukit Batu, di sini.

Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, semua suspek berusia 24 hingga 31 tahun itu ditahan di sebuah pondok di kawasan kebun kelapa sawit di Bukit Batu pada 1 Februari lalu.

Katanya, tangkapan dibuat beberapa jam selepas polis menerima laporan mangsa yang mengatakan ternampak seorang lelaki melarikan diri keluar dari rumahnya dan mengalami kerugian kira-kira RM800 susulan kejadian pecah rumah itu.

“Dalam kejadian kira-kira jam 1.15 pagi pada 1 Februari lalu, mangsa terjaga dari tidur dan melihat seorang lelaki melarikan diri dari rumahnya. Mangsa kemudian memeriksa rumah dan mendapati empat kepingan tingkap telah dibuka manakala besi tingkap turut dipotong.

“Beberapa barang berharga turut hilang dan kerugian dianggarkan RM800 dan suspek ditangkap pada jam 4.30 pagi,” katanya pada sidang media di IPD Kulai di sini, hari ini.

Dzulkhairi berkata, susulan penangkapan itu polis turut merampas tujuh telefon bimbit dan tiga tablet yang disyaki hasil pecah rumah yang dilakukan serta sebilah parang.

Katanya, suspek direman sehingga 15 Februari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan jenayah pecah rumah yang boleh dihukum penjara hingga 14 tahun, denda dan sebatan jika sabit kesalahan.

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS