Kejayaan

TIGA DITAHAN EDAR DADAH BERNILAI LEBIH RM200,000

Kuala Lumpur, 6 Februari 2018 - Polis menahan tiga individu disyaki mengedar dadah dianggarkan bernilai lebih RM200,000 di sekitar Kuala Lumpur, pada Sabtu lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) KL ACP Adnan Azizon berkata polis membuat serbuan pertama di sebuah apartmen di Brickfields dan menahan seorang lelaki berusia 38 tahun.

"Dalam serbuan itu, polis merampas serbuk methylenedioxy-methilamphetamine ( MDMA) seberat 4,116 gram, cecair MDMA seberat 1,250 ml, 260 biji pil eramin 5 seberat 74 gram dan 150 pil Ecstasy yang dianggar seberat 53 gram.

"Hasil siasatan mendapati suspek positif dadah selepas membuat ujian saringan air kencing dan turut mempunyai dua rekod lampau serta mempunyai pertalian dalam sindiket pengedaran dadah jenis pil eramin 5 dan MDMA di sekitar Kuala Lumpur dan Lembah Klang," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini,

Berikutan itu, dua suspek wanita ditahan pada jam 11.15 malam di sebuah rumah di Spring Avenue Service Residensi Kuchai Lama, Brickfields dan polis merampas serbuk MDMA seberat 275 gram, dadah jenis ketamin seberat 254 gram dan dadah jenis cannabis seberat 106 gram.

Beliau berkata hasil siasatan mendapati kedua-dua suspek wanita yang masing-masing berusia 29 tahun ini mempunyai pertalian dalam sindiket pengedaran dadah jenis pil eramin 5 dan pil Ecstasy di sekitar Kuala Lumpur dan Lembah Klang.

Selain itu, polis turut merampas dua buah kenderaan, tiga utas rantai leher, tiga bentuk cincin dan lain-lain perhiasan yang dianggar melebihi RM 100,000 daripada ketiga-tiga suspek.

Tambahnya, sindiket berkenaan telah aktif sejak tiga bulan lepas.

Adnan berkata kesemua suspek kini ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah bermula 4 hingga 10 Feb ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1957 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan.

- BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS