Kejayaan

POLIS TAHAN 'MAT BOND'

Rompin, 11 Februari 2018 - Seorang pengedar dadah dikenali sebagai 'Mat Bond' ditahan dalam serbuan di Kampung Tekek, dekat sini, semalam.

Suspek berusia 38 tahun itu ditahan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rompin kira-kira jam 12 tengah hari hasil risikan dan maklumat awam.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Azly Mohd Noor, berkata polis turut menemui 108.50 gram heroin bersama suspek ketika serbuan dilakukan.

Katanya, pihaknya turut menahan isteri suspek dan dua rakannya berusia antara 29 hingga 30 tahun bagi membantu siasatan.

"Kami terpaksa memecahkan pintu rumah terbabit berikutan suspek enggan memberikan kerjasama selepas diarahkan menyerah diri.

"Ketika serbuan, suspek dan isterinya berada dalam bilik di rumah itu, manakala dua lagi rakan mereka berada dalam bilik berasingan.

"Kami turut merampas beg berwarna hitam mengandungi wang tunai bersama peralatan menghisap dadah," katanya ketika dihubungi di sini, petang tadi.

Azly berkata, nilai rampasan dadah jenis heroin dianggarkan RM3,570 dan pihaknya turut merampas wang tunai RM1,250 daripada suspek.

Katanya, suspek dipercayai aktif mengedar dadah di sekitar Pulau Tioman sejak beberapa bulan lalu dan pemeriksaan lanjut mendapati semua suspek mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan penyalahgunaan dadah.

Semua suspek direman dua minggu bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sumber : Berita Harian Online

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS