Kejayaan

POLIS TERENGGANU RAMPAS DADAH BERNILAI RM318,619

Kuala Lumpur, 11 Februari 2018 - Polis Terengganu percaya mereka dapat melumpuhkan satu sindiket pengedaran dadah kecil-kecilan selepas menahan dua lelaki dan merampas dadah jenis syabu dan pil kuda yang keseluruhannya bernilai RM318,619 dalam serbuan di Kampung Padang Midin di sini, Khamis lalu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail berkata dalam serbuan itu, pasukan dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Marang menemui 17,200 pil kuda (methamphetamine) kira-kira 1.752 kilogram bernilai RM258,000 dan syabu yang siap diproses seberat 606.19 gram bernilai RM60,619.

Beliau berkata setakat ini, ia adalah antara rampasan dadah terbesar bagi kontinjen Terengganu.

"Dalam serbuan kira-kira 6.30 petang itu, kedua-dua lelaki tersebut cuba melarikan diri namun berjaya ditahan.

Polis turut menyita wang tunai RM22,067, tiga kereta dan dua motosikal," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu di sini, hari ini.

Katanya kedua-dua lelaki itu dipercayai terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah di sekitar Marang, Kuala Terengganu, Dungun dan Kemaman sejak enam bulan lepas.

"Kita percaya wang tunai yang dirampas juga adalah hasil jualan pil kuda dan syabu yang diperoleh dari negara jiran," katanya.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan terdapat pembeli dalam kalangan pelajar sekolah memandangkan sebiji pil kuda itu dijual pada harga RM12 hingga RM15 sahaja.

"Walaupun penglibatan pelajar sekolah ini tidak ramai, namun polis akan meneruskan aktiviti pencegahan secara berterusan dengan turun ke kampung-kampung untuk mengenal pasti mereka yang terlibat dengan aktiviti pengedaran kecil-kecilan ini," katanya.

Beliau berkata suspek pertama yang berumur 23 tahun adalah peniaga ikan dan mempunyai satu rekod jenayah berkaitan dadah manakala suspek kedua pula berumur 26 tahun bekerja sebagai buruh namun tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

"Hasil ujian air kencing mendapati kedua-dua suspek itu negatif dadah dan mereka kini direman lima hari sejak Jumaat untuk siasatan lanjut,” katanya.

- BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS