Kejayaan

67 TERMASUK WARGA ASING DITAHAN SERBUAN DI PASAR BORONG KL

Kuala Lumpur, 15 Februari 2018 - Polis menahan 67 individu termasuk warga asing di Pasar Borong Kuala Lumpur dalam Operasi Bersepadu bagi membasmi masalah penyalahgunaan dadah dan pendatang asing tanpa izin (pati).

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Zainuddin Yaacob, berkata, operasi dijalankan bermula jam 4 pagi semalam itu melibatkan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Polis Kuala Lumpur dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Sentul serta dibantu oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Menurutnya, hasil serbuan, polis menahan lapan warga tempatan dan 59 warga asing terdiri daripada warga Myanmar, Bangladesh, India, Indonesia dan Nepal berumur lingkungan 21 hingga 50 tahun untuk pemeriksaan.

“Semua tangkapan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul untuk pemeriksaan lanjut. Pemeriksaan ke atas semua tangkapan mendapati 15 daripadanya positif dadah dalam saringan ujian air kencing yang dijalankan dan dikenakan tindakan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

“Seramai 47 orang telah ditangkap kerana tidak mempunyai Pas Perjalanan yang sah, manakala lima lagi telah dibebaskan selepas proses dokumentasi selesai,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, dengan kejayaan operasi berkenaan, polis akan meneruskan usaha membasti masalah berkenaan di Kuala Lumpur hingga ke akar umbi.

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS