Kejayaan

POLIS TAHAN LELAKI TAWAR TIKET PENERBANGAN PALSU KE EROPAH

Kuantan, 21 Februari 2018 - Polis menahan seorang lelaki yang didakwa menawarkan tiket penerbangan palsu kepada seorang pensyarah dengan tawaran RM10,500.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata suspek yang berumur 27 tahun itu telah ditahan di hadapan sebuah stesen minyak di Shah Alam, Selangor kira-kira 9.45 malam semalam.

“Mangsa, 43, sebelum itu dilaporkan telah tertarik dengan tiket jualan murah ke Eropah yang diiklankan oleh suspek melalui media sosial pada 1 Feb lepas.

“Selepas itu, pengadu yang bekerja sebagai pensyarah dan menetap di Pekan menempah tiket penerbangan untuk tujuh individu ke Manchester.

"Dia kemudian telah melakukan transaksi pemindahan wang sebanyak RM10,500 ke dalam akaun suspek,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Katanya hasrat mangsa untuk melancong dengan tiket murah itu, bagaimanapun tidak kesampaian apabila suspek menghantar e-mel menyatakan penerbangan itu dibatalkan.

Beliau berkata suspek turut berjanji akan memulangkan wang berkenaan, namun gagal berbuat demikian menyebabkan mangsa telah merasa tertipu sebelum membuat laporan polis.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta denda jika sabit kesalahan.

- BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS