Kejayaan

TIGA PELAJAR SEKOLAH ANTARA DITAHAN MILIKI AIR KETUM

Batu Gajah, 26 Februari 2018 - Polis menahan 14 lelaki termasuk tiga pelajar sekolah dan merampas 34 liter air ketum bernilai RM320 dalam dua serbuan berasingan di sini, pada petang Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, ACP Ahmad Tarmizi Shaari berkata kesemua mereka yang berusia 16 hingga 36 tahun itu ditahan ketika sedang minum air ketum.

"Operasi pertama dijalankan di sebuah rumah dekat Kampung Bakap Baru, Batu 1, Jalan Tanjung Tualang dengan tujuh lelaki ditahan dan 13.5 liter air ketum yang diisi di dalam sembilan botol plastik dirampas.

"Dalam operasi kedua di sebuah rumah jalan Tanjung Tualang, Kampung Air Mati, polis menahan tujuh lelaki termasuk tiga pelajar sekolah dan merampas cecair air ketum di dalam lima botol plastik termasuk sembilan bungkusan yang berisipadu 21 liter," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Menurut Ahmad Tarmizi dua daripada yang ditahan turut mempunyai rekod kesalahan lampau.

Kesemua yang ditahan dibebaskan dengan jaminan polis sementara menunggu laporan kimia dan kes disiasat menurut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga empat tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

- BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS