Kejayaan

POLIS KELANTAN TAHAN DUA LELAKI, RAMPAS PISTOL DAN DADAH

Kota Bharu, 15 Mac 2018 - Polis menahan dua lelaki susulan penemuan dua pucuk pistol serta peluru dalam serbuan di sebuah rumah tidak bernombor berdekatan pangkalan haram Jitong, Jeram Perdah, Pasir Mas semalam.

Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan berkata pistol yang dirampas adalah jenis Colt bersama tiga butir peluru dan sepucuk lagi pistol angin model Glock.

"Dalam serbuan pukul 5 pagi itu, polis turut menemukan pelbagai jenis dadah seperti pil kuda (methamphetamine) dan Erimin 5, ubat batuk serta daun ketum yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM32,620," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini, hari ini.

Serbuan dilakukan oleh sepasukan anggota Pasukan Gerakan Am Batalion 9 (PGA9) setelah mendapat maklumat awam.

Hasanuddin berkata ketika serbuan, dua suspek berusia 34 dan 52 tahun itu, yang positif dadah jenis methamphetamine berada di rumah berkenaan dan seorang daripadanya mempunyai rekod jenayah di Kelantan dan Selangor.

Beliau berkata dua suspek itu yang disyaki pendedar dadah kini direman tujuh hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut. - BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS