Kejayaan

POLIS MARIN TAHAN EMPAT PATI FILIPINA

Lahad Datu, 20 Mac 2018 - Empat pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina termasuk seorang juragan dan pembantu ditahan sepasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Empat dalam Op Gelora yang dijalankan di Perairan Tanjung Labian, Felda Sahabat, di sini, kelmarin.

Komandernya, ACP Mohd. Yazib Abd. Aziz berkata, kesemua PATI ditahan ketika menaiki sebuah bot yang dipercayai dalam perjalanan memasuki kawasan tersebut dari Pulau Sibutu, Filipina.

"Pemeriksaan lanjut ke atas dua lelaki dan dua wanita berusia lingkungan 16 hingga 58 tahun itu tidak menemukan sebarang pengenalan diri atau dokumen perjalanan yang sah.

"Rampasan turut dibuat ke atas sebuah bot, enjin sangkut, wang tunai dalam mata wang peso, telefon bimbit, beg sandang dan kad sim dengan anggaran keseluruhan bernilai RM13,890.00," jelas beliau lagi.

Kesemua tahanan bersama barang rampasan diserahkan kepada pegawai penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu dan kes disiasat di bawah Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS