Kejayaan

POLIS TAHAN DUA LELAKI YANG MENJALANKAN KEGIATAN AHLONG

Kuantan, 27 Mac 2018 - Polis menahan dua lelaki dipercayai anggota sindiket pinjaman wang tanpa lesen atau Along kerana disyaki mengugut dan menularkan kad pengenalan serta gambar keluarga mangsa di media sosial.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Yusof berkata kedua-dua suspek yang berumur 20 dan 29 tahun kemudian telah ditangkap pada 4 petang semalam di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan (IPD) ketika hadir memberi keterangan.

“Mangsa seorang ahli perniagaan berusia 57 tahun tahun sebelum itu telah membuat pinjaman dengan suspek sebanyak RM45,000 pada tahun lepas dan telah membuat pembayaran berkala selepas itu.

"Bagaimanapun pada Ahad lepas mangsa telah dihubungi oleh rakannya yang menyatakan bahawa kad pengenalan mangsa telah tular dalam laman sosial kerana kononnya tidak membayar hutang dan diugut untuk dicederakan jika gagal menjelaskannya.

Malah tertuduh turut menularkan gambar anak-anak mangsa menyebabkan ahli perniagaan berkenaan risau dengan keselamatan anggota keluarganya sebelum membuat laporan polis,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Kes disiassat dibawah Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM250,000 dan tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya.

Dalam kes berasingan pula, seorang wanita mengalami kerugian RM4,500 ketika berurusan bagi mendapatkan pinjaman daripada Along.

Wazir berkata, mangsa, 40 tahun yang bekerja sebagai juruwang telah berurusan untuk membuat pinjaman peribadi melalui iklan yang ditemui dalam laman media sosial.

"Pada Isnin (19 Mac) lepas mangsa telah menerima panggil daripada suspek untuk memberitahu pinjaman telah diluluskan dan meminta wang sejumlah wang sebagai wang pemprosesan.

"Mangsa yang terpedaya kemudian telah memasukkan RM4,500 dengan beberapa kali transaksi ke dalam akaun yang diberikan oleh suspek," katanya.

Katanya selepas selesai memasukkan wang berkenaan suspek telah menghantar gambar cek berjumlah RM19,000.

Namun, setelah pemeriksaan dilakukan pihak bank mendakwa cek berkenaan meragukan sebelum mangsa bertindak membatalkan hasrat pinjaman berkenaan dan meminta semula wang berkenaan.

Katanya, suspek yang enggan memulangkan wang mangsa turut mengugutnya untuk membawa kes itu ke mahkamah menyebab mangsa terasa terancam dan membuat laporan polis.

-- BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS