Kejayaan

POLIS BERJAYA TAHAN DUA PELARIAN UNHCR SAMUN WANITA DI KL

Kuala Lumpur, 31 Mac 2018 - Dua lelaki warga Myanmar ditahan selepas menyamun seorang wanita di Jalan 2/3A, Pusat Bandar Utara berhampiran sebuah pasar borong di sini, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner R. Munusamy berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 pagi itu, mangsa berusia 25 tahun ditolak seorang daripada suspek sehingga terjatuh sejurus keluar dari kereta untuk ke tempat kerjanya.

“Suspek kemudian merampas beg galas wanita itu sambil mengugut menggunakan pisau supaya tidak menjerit meminta tolong.

“Mangsa mengalami kecederaan kecil di bahagian dada akibat terkena objek tajam ketika terjatuh selepas ditolak suspek,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Persatuan Kebajikan Isteri-Isteri Polis (Perkep) Ibu pejabat Polis Daerah Sentul di sini hari ini.

Menurut Munusamy, suspek pertama berusia 24 tahun ditahan pukul 12.30 tengah hari manakala seorang lagi suspek berusia 18 tahun ditahan kira-kira 12 jam selepas itu di Taman Sri Murni, berhampiran pasar borong berkenaan.

“Dalam tangkapan pertama, kita turut menemukan barangan milik mangsa antaranya beg galas, jaket, telefon bimbit jenis iPhone 7 Plus, dompet dan dokumen peribadi serta sebilah pisau berukuran 15.5 sentimeter,” ujarnya.

Katanya, kedua-dua suspek yang bekerja di pasar borong itu merupakan pemegang kad Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR).

Menurutnya, mereka ditahan reman tujuh hari bermula semalam sehingga 5 April ini dan disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan iaitu sengaja menyebabkan kecederaan ketika melakukan rompakan.

Sumber: Utusan Online

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS