Kejayaan

POLIS TAHAN DUA INDIVIDU TERLIBAT DALAM PERGADUHAN DI SMK BANTING

Kuala Langat, 8 April 2018 - Dua lelaki ditahan kerana disyaki terlibat dalam pergaduhan sehingga mendatangkan kecederaan kepada seorang lelaki berusia 20-an di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Banting, di sini petang tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman berkata, siasatan awal pihaknya mendapati pergaduhan tersebut mula tercetus kira-kira pukul 1.30 petang melibatkan dua kumpulan.

Beliau berkata, sebelum kejadian seorang lelaki berusia lingkungan 20-an telah terbabit dengan kemalangan dengan sebuah kereta dinaiki seorang lelaki berusia 31 tahun bersama seorang rakannya di hadapan sekolah berkenaan.

"Ketika sedang berbincang, berlaku perselisihan faham antara rakan pemandu kereta berkenaan dengan penunggang motosikal itu menyebabkan penunggang motosikal mengambil sebiji batu bata dan memukul kepala pemandu kereta itu sebelum melarikan diri ke dalam kawasan sekolah berkenaan.

"Berang dengan tindakan lelaki itu, rakan pemandu kereta berkenaan serta beberapa lagi individu yang kebetulan berada di tempat kejadian mengejar penunggang motosikal itu dan memukulnya dengan menggunakan topi kaledar, kayu dan batu," katanya ketika dihubungi Kosmo!.

Azizan berkata, susulan pergaduhan itu, pihaknya telah menahan dua lelaki termasuk pemandu kereta berusia 25 dan 31 tahun.

"Akibat pergaduhan itu juga, pemandu kereta terbabit sudah menerima sembilan jahitan di kepala, manakala penunggang motosikal itu yang juga cedera di beberapa bahagian badan belum membuat laporan polis.

"Usaha mengesan lelaki terbabit (penunggang motosikal) sedang dijalankan termasuk beberapa lagi individu yang dipercayai terbabit dalam satu pergaduhan itu," katanya.

Pada masa sama, beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian atau mengenali suspek supaya tampil di balai polis berhampiran bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

Rakaman video berkaitan kejadian terbabit telah tular di laman sosial Facebook sejak petang tadi.

Video berdurasi 46 saat itu memaparkan beberapa individu lelaki mengejar seorang lelaki sehingga ke tengah padang sebelum membelasahnya dengan objek dipercayai topi keledar sehingga mendatangkan kecederaan.

Sumber : KOSMO Online

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS