Kejayaan

POLIS TAHAN LELAKI SOROK DADAH DALAM KASUT

Kota Kinabalu, 13 Mei 2018 - Gelagat seorang lelaki terhenjut-henjut ketika diarah keluar dari kereta membongkar penemuan plastik berisi dadah disyaki syabu disorok dalam kasut yang dipakainya dalam kejadian di Jalan Sembulan, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, suspek berusia 24 tahun itu dikatakan memandu sebuah kereta melalui Jalan Bulatan Mat Salleh, di sini, sebelum ditahan polis yang menjalankan rondaan cegah jenayah di kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra, berkata ketika polis membuat rondaan di kawasan Sembulan, terserempak dengan sebuah kereta PERODUA Myvi dipandu lelaki dalam keadaan mencurigakan.

"Anggota polis kemudian mengarahkan pemandu kereta terbabit berhenti di bahu jalan untuk tujuan pemeriksaan.

"Hasil pemeriksaan menemui satu plastik putih berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu dengan berat 2.38 gram di dalam kasut sebelah kanan yang dipakai suspek," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Chandra berkata, suspek kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan akan disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Sumber : Berita Harian

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS