Kejayaan

EMPAT PENJENAYAH LARIKAN DIRI DARIPADA POLIS BERJAYA DIBERKAS

Kuala Langat, 23 Mei 2018 - Empat penjenayah berjaya ditahan polisselepas kereta yang dinaiki mereka terbabas melanggar dinding sebuah bangunan di Jalan Bunga, Pekan Banting dekat sini pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.20 pagi itu, salah seorang penjenayah turut cedera terkena tembakan pada kaki kanan dan bahagian bahu selepas cuba bertindak agresif ke arah polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, sebelum kejadian, kereta Peronda Polis (MPV) Ibu PejabatPolis Daerah (IPD) Kuala Langat telah terserempak dengan sebuah kereta jenis Honda Civic dalam keadaan mencurigakan.

Beliau berkata, pihak polis telah mengarahkan kereta tersebut untuk berhenti, namun ia terus memecut melarikan diri ke arah Jalan Bunga, Pekan Banting, di sini.

"Beberapa MPV lain turut membantu mengejar kereta berkenaan, namun mereka terus melarikan diri sehingga melanggar dua buah MPV polis.

"Bagaimanapun, kereta dinaiki suspek telah terbabas dan melanggar bangunan dinding kedai dan MPV berjaya menghimpit kereta tersebut," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Fadzil berkata, selepas kereta mereka terbabas, keempat-empat suspek cuba melarikan diri dan salah seorang daripada mereka telah bertindak agresif ke arah polis.

"Polis terpaksa melepaskan tembakan ke arah suspek berkenaan dan dia telah mengalami kecederaan pada kaki kanan dan bahagian bahu.

"Suspek yang cedera kemudian dihantar ke Hospital Banting untuk rawatan lanjut,"katanya.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan lanjut pada kereta Honda Civic dinaiki empat suspek berusia 20 hingga 30 tahun itu telah menemui sarang burung, peralatan hisap dadah dan peralatan pecah rumah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Sumber : KOSMO

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS