Kejayaan

MEREMPIT DI BULAN RAMADHAN: TUJUH TERMASUK EMPAT REMAJA BAWAH UMUR DIDAKWA DI MAHKAMAH

Kangar, 28 Mei 2018 - Ramadan sepatutnya diisi dengan ibadah, tetapi lain pula bagi tujuh lelaki di sini yang menjadikan bulan itu untuk mereka berlumba haram.

Perbuatan itu namun mengundang padah apabila kesemuanya termasuk empat remaja bawah umur dihadapkan ke Mahkamah Masjistret di sini hari ini, atas pertuduhan menunggang motosikal secara berbahaya, minggu lalu.

Tertuduh, Mohamad Zuhairi Md. Noh dan Aidil Azrin Anuar yang kedua-duanya berusia 21 tahun; Ahamad Affendee Badlley,19, serta empat lagi remaja bawah umur yang masing-masing berusia antara 17 dan 18 tahun mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan kepada mereka di hadapan Majistret Norhayati Ibrahim.

Berdasarkan pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa menunggang motosikal dengan melulu dan laju sehingga boleh membahayakan nyawa orang awam di Jalan Kangar-Kodiang, Arau, kira-kira pukul 1.15 pagi, 24 Mei lalu.

Mereka didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun serta denda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak lebih RM15,000 jika sabit kesalahan.

Mahkamah walau bagaimanapun menetapkan 23 Julai hadapan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menantikan laporan akhlak tertuduh daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri.

Sementara itu, dalam sesi pertuduhan yang sama, seorang lelaki, Mohd. Suhaimi Mohd Sukri, 26, didenda RM600 selepas mengaku bersalah memberikan motosikal miliknya digunakan untuk tujuan perlumbaan haram.

Tertuduh juga boleh dipenjara selama sebulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, Mohd. Suhaimi didakwa melakukan kesalahan dengan memberikan motosikal miliknya untuk digunakan dalam pertandingan dan ujian kelajuan yang tidak diluluskan di Jalan Kuala Perlis-Changlun kira-kira pukul 12.30 tengah malam, 26 Mei lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 81(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa Trafik Ibu pejabat PolisKontinjen (IPK) negeri, Inspektor Mohd Zulfadzli Salehen manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sumber: Utusan Online

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS