Kejayaan

POLIS TEMUI 260 MESIN SIMULATOR DI SUNGAI BULOH

Sungai Buloh, 11 Jun 2018 - Polis menemukan 260 mesin simulator dipercayai digunakan untuk tujuan perjudian dalam serbuan di sebuah stor penyimpanan di Kampung Baru, Sungai Buloh, Selangor.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata, serbuan pada 8.30 pagi tadi itu adalah hasil risikan dan maklumat yang tular di laman sosial.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati kesemua mesin berkenaan adalah mesin lama dalam keadaan berhabuk serta ada yang telah rosak, dan bukannya mesin baharu seperti yang tular di laman sosial.

"Kita akan menggunakan khidmat Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk menyiasat sama ada kesemua barangan ini berlesen atau mempunyai permit sah seperti yang digunakan sesetengah pusat hiburan keluarga," katanya kepada pemberita selepas membuat pemeriksaan di stor berkenaan.

Bagaimanapun, katanya tiada tangkapan dibuat berikutan tidak ada mana-mana individu dalam stor berkenaan ketika serbuan dijalankan.

Mazlan turut menafikan dakwaan yang tular kononnya pihak berkuasa gagal mengesan mesin judi berkenaan yang disimpan untuk dihantar ke premis-premis judi di seluruh negara.

Pengerusi Pasukan Bertindak Pemantau Jenayah Malaysia (MyWatch) Datuk R. Sri Sanjeevan hari ini memuat naik status berserta gambar di laman sosial Facebook yang mendakwa polis gagal membongkar stor penyimpanan mesin judi berkenaan.

Katanya, pihak polis sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada orang awam mengenai sebarang aktiviti judi di sekitar Selangor supaya tindakan pembanterasan dapat diambil pasukan polis, namun mereka harus memastikan maklumat disalurkan adalah sahih.

Menurutnya, 222 serbuan berjaya dilakukan ke atas premis mesin judi sepanjang Mei lepas dan 152 pertuduhan dibuat setakat ini.

- BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS