Kejayaan

LELAKI DAN WANITA GENG PECAH RUMAH DIKEHENDAKI POLIS DITAHAN

Bukit Mertajam, 12 Jun 2018 - Seorang lelaki dan wanita anggota geng pecah rumah yang memang dikehendaki polis kerana terlibat dalam puluhan kes jenayah berjaya ditahan polis dalam serbuan di Taman Kenanga, Serdang di Kedah hari ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata bertindak hasil risikan dan intipan yang dijalankan,polis berjaya mengesan suspek sebelum pihaknya menyerbu rumah sewa mereka kira-kira pukul 12.45 tengah malam tadi.

"Polis menahan lelaki dan wanita dipercayai pasangan kekasih berusia 51 dan 42 tahun itu dan merampas pelbagai barangan dipercayai hasil kegiatan pecah rumah mereka.

"Antara barangan yang dirampas ialah sebuah kereta jenis Proton Gen 2 yang digunakan mereka untuk menjalankan kegiatan pecah rumah, pelbagai komputer riba, telefon bimbit dan sejumlah wang tunai," katanya di sini malam ini.

Beliau berkata berdasarkan siasatan, mereka menjalankan kegiatan pecah rumah itu bersama seorang lagi rakan dikenali sebagai Ah Keong berusia lingkungan 40-an dan usaha mengesan lelaki berkenaan giat dijalankan.

Nik Ros Azhan berkata kumpulan pecah rumah yang dikenali sebagai geng Gen 2 Merah itu dipercayai terlibat kegiatan berkenaan sejak tahun lepas serta memang dikehendaki polis.

Katanya mereka bukan sahaja menjalankan jenayah pecah rumah di SPT malah di beberapa negeri lain serta hidup berpindah randah untuk menjalankan kegiatan berkenaan serta mengelak dikesan polis.

"Terbaru mereka memecah masuk rumah seorang jurutera di Bukit Minyak membabitkan kerugian RM500, modus operandi mereka ialah memecah masuk rumah yang tiada penghuni sebelum melarikan barangan berharga termasuk barangan elektrik milik mangsa sebelum menjual dengan harga murah kepada pembeli," katanya.

Beliau berkata lelaki yang ditahan itu mempunyai 37 rekod lampau manakala wanita berkenaan mempunyai sembilan rekod berkaitan jenayah dan dadah.

"Kumpulan itu dipercayai terlibat lebih 10 kes pecah rumah di SPT sejak awal tahun ini dan kedua-dua mereka kini direman untuk siasatan lanjut. Kes berkenaan disiasat menurut Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya.- BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS