Kejayaan

PUSAT URUT SEKS DISERBU

Klang, 22 Jun 2018 - Sebuah pusat urut yang disyaki menawarkan khidmat seks bagaikan tidak serik apabila diserbu kali ke-10 dalam tempoh 10 bulan di Jalan Gambus 2, Taman Desawan di sini awal pagi tadi.

Dalam serbuan pada pukul 1.30 pagi itu, lima tukang urut wanita warga asing bersama seorang penjaga premis warga tempatan ditahan berusia 25 hingga 31 tahun.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, serbuan dilakukan hasil risikan pihaknya terhadap kegiatan tidak bermoral yang dijalankan oleh pusat urut terbabit.

Katanya, kesemua wanita yang ditahan melibatkan empat warga Indonesia dan seorang warga Vietnam.

"Semasa serbuan dilakukan didapati kesemua mereka sedang melakukan urutan terhadap pelanggan mereka.

"Kita percaya pusat urut menawarkan khidmat seks berdasarkan permintaan susulan penemuan banyak tisu dan tuala di dalam bilik tempat mengurut," katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi.

Beliau menambah, bayaran untuk setiap kali urutan adalah sekitar RM50 hingga RM100 bagi satu sesi.

Jelas Shamsul, siasatan mendapati modus operandi pusat urut itu mengkehendaki setiap pelanggan menggunakan laluan rahsia melalui tangga bagi memasuki premis terbabit.

"Premis terbabit juga dikunci dengan tiga lapisan pintu besi dari dalam sehingga menyebabkan polis terpaksa meminta bantuan daripada pihak Bomba dan Penyelamat bagi memecahkan pintu terbabit.

"Kes kini disiasat mengikut Seksyen 55B dan 39B Akta Imigresen," katanya.

Dalam perkembangan berlainan, seramai lima lelaki ditahan kerana selepas didapati positif dadah jenis methamphetamine sewaktu sedang berhibur di pusat hiburan karoake bersebelahan pusat urut itu. - K! ONLINE

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS